Tuesday, August 22, 2017

PENGUMUMAN

mfc winners

Mengenai FOMCA

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah ditubuhkan pada 10 Jun 1973 di Alor Star, Kedah. FOMCA ialah persatuan gabungan kebangsaan yang ditubuhkan untuk bertindak sebagai penyelaras, perunding dan mewujudkan kerjasama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. FOMCA telah melangkaui peranan tradisinya untuk meningkatkan perlindungan pengguna melalui advokasi, pelobian, jaringan, perwakilan, kempen dan pendidikan. Pada masa ini, FOMCA mempunyai 15 ahli gabungan di peringkat negeri, dan persatuan gabungan yang mengkhusus dalam bidang tertentu.

 

Dalam tempoh 41 tahun perjuangannya serta menghadapi pelbagai cabaran, FOMCA telah mencapai beberapa kejayaan dalam usaha untuk memperkukuh perlindungan dan pengupayaan pengguna. FOMCA akan meneruskan usaha untuk mendapatkan perlindungan pengguna yang lebih baik melalui peraturan, polisi, program dan penguatkuasaan. Antara inisiatif advokasi yang dilaksanakan oleh FOMCA ialah:


  1. Akta Perlindungan Pengguna, 1999
  2. Dasar Pengguna Negara
  3. Akta Persaingan, 2010
  4. Kempen terhadap sistem pengebilan Indah Water.
  5. Piagam Pesakit

 Pendidikan Pengguna merupakan satu daripada lapan hak pengguna. Dalam pasaran yang begitu kompleks pada hari ini, pengguna perlu dipersiapkan dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menangani pasaran ini dengan berkesan. Pengguna harus dididik dengan hak mereka sebagai pengguna. Mereka harus diberikan kesedaran bahawa hak-hak pengguna ini adalah berasaskan kepada hak sejagat bagi membolehkan mereka menggunakan hak-hak tersebut untuk melindungi kepentingan dan kebajikan mereka.

 

Pengguna harus dididik juga tentang pasaran dan bagaimana pasaran berfungsi. Seringkali pengguna beranggapan bahawa kerajaan yang menentukan harga barangan. Oleh itu, kerajaan perlu mengambil langkah yang tegas bagi memastikan harga barangan sentiasa berada pada paras yang rendah. Pengguna harus dididik untuk memahami pasaran dan bagaimana faktor permintaan dan penawaran menentukan harga. Pengguna perlu juga memahami bahawa faktor perubahan iklim boleh mempengaruhi harga makanan.

 

Pengguna harus diberikan pendidikan tentang penggunaan yang berhemat. Mereka harus dilatih untuk menjadi pengguna yang bijak supaya mampu mengoptimumkan nilai wang mereka. Mereka perlu juga dilatih untuk menjimatkan air dan tenaga. Pengguna harus diberikan maklumat tentang gaya hidup yang sihat. Mereka harus memahami bahawa corak pemakanan mereka boleh memberikan kesan kepada kesihatan dan kesejahteraan hidup mereka. Mereka juga harus diberi maklumat tentang makanan dan barangan yang sihat untuk digunakan, dan dalam masa yang sama diberikan pengetahuan tentang makanan atau barangan yang boleh memudaratkan kesihatan mereka. Pengguna juga perlu bertanggungjawab untuk menjaga alam sekitar. Mereka harus mengamalkan penggunaan mampan untuk meminimumkan impak negatif kepada alam sekitar.

 

Selain itu, pengguna juga harus diberikan maklumat untuk membuat aduan dan saluran untuk mengadu. Sebanyak 40,560 aduan telah diterima pada tahun 2013, dengan nilai potensi kerugian RM61,700,640.62. Melalui program pendidikan kepenggunaan serta mesej yang disampaikan melalui media oleh FOMCA, lebih ramai yang menyedarkan hak mereka sebagai pengguna. Oleh itu, lebih ramai yang sedia tampil untuk membuat aduan sekiranya tidak berpuas hati terhadap barangan atau perkhidmatan. Pada tahun 2015, FOMCA menjangkakan jumlah aduan akan meningkat lebih mendadak, disebabkan oleh pelaksanaan GST. Lebih ramai pengguna menyuarakan aduan mereka melalui saluran aduan yang disediakan oleh FOMCA.

 

Pendidikan pengguna merupakan kaedah yang paling berkesan untuk membentuk jati diri pengguna yang matang dan berketahanan mental. Pendidikan Pengguna boleh melengkapkan pengguna dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menangani keadaan semasa pasaran dan kepentingan mereka dengan lebih berkesan. Seterusnya ini dapat meningkatkan kesejahteraan hidup mereka. Tidak dapat dinafikan juga bahawa pengguna yang bermaklumat dan beryakinan akan dapat menyumbangkan kepada pasaran yang lebih kompetitif dan cekap.

 

Antara Program Pendidikan FOMCA yang telah dijalankan, antaranya:

  1. Kempen Pengguna Kebangsaan, yang menjurus kepada hak dan tanggungjawab pengguna serta pengguna berhemat.
  2. Program Pendidikan Kewangan dari peringkat pra sekolah hingga golongan pekerja muda.
  3. Pendidikan kepenggunaan melalui Program Hari Pengguna.
  4. Program Switch tentang kecekapan tenaga.
  5. Penerbitan pendidikan kewangan dan kepenggunaan.

MySWITCH 2017